0/10 siap
Training · Bro Zaid Todak ← Semua subjek

Prompting · 10 Modul · Bacaan ~35 minit

Asas Prompting, cara bercakap dengan AI supaya kerja jadi

AI ni macam pekerja baru yang genius: pandai gila, rajin, tak penat. Tapi hari pertama dia masuk, dia tak tahu apa-apa pasal kedai kau, pelanggan kau, atau apa yang kau nak. Satu-satunya cara dia tahu ialah melalui arahan kau. Arahan tu lah dipanggil prompt. Subjek ni ajar cara bagi arahan yang buat AI keluarkan kerja tahap "terus boleh pakai", bukan tahap "hmm, tak sama macam aku bayang".

Isi Kandungan
  1. Apa itu prompt, dan kenapa ia 90% daripada hasil
  2. Formula 4K: Konteks, Kerja, Keluaran, Kekangan
  3. Spesifik kalahkan kabur
  4. Konteks itu raja
  5. Tunjuk contoh, cara paling cepat dapat gaya kau
  6. Tetapkan bentuk jawapan
  7. Iterasi: draf pertama bukan hasil akhir
  8. Persona, gaya & amaran fakta
  9. Resipi siap guna untuk kerja kedai
  10. 7 kesilapan paling biasa

Modul 1 — Apa itu prompt

Prompt = briefing kau kepada pekerja genius yang tak kenal kedai kau.

Bila kau taip apa-apa kepada AI (Claude, ChatGPT, mana-mana), ayat kau tu dipanggil prompt. AI akan cuba teka sehabis baik apa yang kau nak, berdasarkan apa yang kau tulis sahaja. Dia tak boleh baca fikiran kau. Jadi hukum pertama: kualiti arahan = kualiti hasil. Orang yang kata "AI ni bodoh" selalunya bagi arahan macam bos yang jerit "buat elok-elok!" tanpa cakap apa yang elok tu.

✗ Arahan bos jerit
buat caption
AI terpaksa teka: caption apa? untuk siapa? gaya apa? Hasilnya generik.
✓ Briefing pekerja
Tulis caption FB untuk khemah Naturehike 2 orang, target family baru nak start camping, gaya santai BM, 3 ayat, akhir dengan soalan
Sekarang AI tahu produk, audiens, gaya, panjang dan penutup. Kerja terus jadi.

Dua-dua prompt pergi ke AI yang SAMA pandai. Bezanya briefing.

Model mentalSebelum tekan hantar, tanya diri: "kalau aku hantar ayat ni kat staf baru hari pertama, boleh ke dia buat kerja ni tanpa tanya balik?" Kalau tak boleh, prompt kau belum siap.
Cuba dengan situasi kau

Ambil SATU kerja yang kau memang nak buat hari ni (apa-apa pun: balas mesej, tulis ucapan, ringkaskan dokumen), dan isi tempat kosong:

Aku nak [KERJA KAU HARI NI]. Konteks: [SIAPA KAU & SITUASI]. Hasil yang aku nak: [MACAM MANA RUPANYA BILA SIAP].

Hantar pada AI dan banding sendiri dengan hasil kalau kau taip sebaris je. Itu seluruh subjek ni dalam satu ujian.

Modul 2 — Formula 4K

Satu formula untuk hafal: Konteks · Kerja · Keluaran · Kekangan.

Prompt yang baik hampir selalu ada 4 bahagian ni. Tak perlu ikut susunan, tak perlu formal, yang penting keempat-empatnya ADA:

✓ Formula 4K
1. KONTEKSSiapa kau, situasi apa. "Aku jual peralatan camping kat Cyberjaya, pelanggan majoriti family muda."
2. KERJASatu tugas yang jelas. "Tulis 3 pilihan caption untuk post lampu camping baru."
3. KELUARANBentuk hasil. "Setiap satu max 3 ayat, BM santai, ada emoji tak lebih satu."
4. KEKANGANApa yang TAK boleh. "Jangan sebut harga, jangan janji free gift, jangan guna perkataan 'murah'."

Hafal 4K ni. Sepuluh modul lepas ni sebenarnya menghurai formula ni satu-satu.

Cuba dengan situasi kau

Isi 4K untuk satu kerja sebenar kau minggu ni:

KONTEKS: [siapa kau, situasi apa]
KERJA: [satu tugas yang jelas]
KELUARAN: [bentuk & panjang hasil]
KEKANGAN: [apa yang TAK boleh ada]

Tak perlu ayat cantik. Empat baris ni sahaja dah kalahkan 90% prompt di dunia.

Modul 3 — Spesifik kalahkan kabur

Ujian mudah: kalau prompt kau boleh dijawab 10 cara berbeza, ia terlalu kabur.

"Tolong improve ayat ni" boleh bermaksud: pendekkan? panjangkan? formalkan? santaikan? betulkan grammar? AI akan pilih SATU tafsiran, dan selalunya bukan yang kau maksudkan. Kemudian kau frust. Salah siapa? Bukan AI. Sempitkan sasaran sampai tinggal satu tafsiran sahaja.

✗ 10 tafsiran
improve ayat ni
buat lebih menarik
tolong check
✓ 1 tafsiran
pendekkan jadi 2 ayat, kekalkan info tarikh & lokasi
tukar tone jadi mesra macam cakap dengan kawan
semak ejaan & grammar sahaja, jangan ubah gaya

Perkataan kabur yang patut kau syak: "improve", "menarik", "cantik", "best", "professional". Setiap satu ada 10 maksud.

Modul 4 — Konteks itu raja

AI tak tahu benda yang kau tak bagitahu. Langsung.

Ini silap paling besar orang baru: dorang ingat AI "dah tahu" pasal bisnes dorang. Tak. Setiap kali kau buka chat baru, AI mula dari kosong. Bagi dia latar belakang: siapa kau, apa bisnes kau, siapa akan baca output ni, dan situasi semasa. Konteks 2 ayat boleh ubah hasil 180 darjah.

✗ Tanpa konteks
balas komplen ni: "barang sampai lambat!"
AI akan bagi jawapan template corporate yang sejuk, sebab dia tak kenal kedai kau.
✓ Dengan konteks
Aku owner kedai camping. Pelanggan ni repeat customer, order khemah utk trip weekend ni, kurier lambat 2 hari. Kita boleh offer pickup kat kedai Cyberjaya atau refund penuh. Balas dalam BM mesra, mohon maaf ikhlas, bagi 2 pilihan tu.

Perhatikan: konteks bukan sahaja buat jawapan lebih tepat, ia buat jawapan JADI MILIK KAU, bukan template internet.

Trik jimat masaSimpan satu perenggan "pasal bisnes aku" dalam Notes: apa kau jual, kat mana, siapa pelanggan, gaya bahasa kau. Setiap kali mula chat baru untuk kerja, tampal dulu perenggan tu. 10 saat, hasil naik serta-merta.
Cuba dengan situasi kau

Tulis perenggan simpanan versi kau sendiri (sesiapa pun kau: bekerja, berniaga, belajar, urus rumah):

Aku [PERANAN / KERJA HARIAN KAU]. Aku selalu buat kerja untuk [SIAPA: pelanggan / bos / keluarga / cikgu]. Gaya bahasa aku: [SANTAI / FORMAL / RINGKAS]. Kerja yang paling kerap aku perlukan bantuan: [SENARAIKAN 2-3].

Simpan dalam Notes telefon. Mulai hari ni, tampal di awal setiap chat baru dengan AI.

Modul 5 — Tunjuk contoh

Nak AI ikut gaya kau? Jangan terangkan gaya tu. TUNJUK.

Menerangkan gaya dengan perkataan memang susah: "santai tapi professional, mesra tapi tak mengada". Pening. Cara jauh lebih mudah: tampal 1-2 contoh sebenar yang kau suka, dan cakap "ikut gaya macam ni". AI sangat pandai meniru corak dari contoh — ini dipanggil few-shot prompting, teknik paling berbaloi dalam seluruh subjek ni.

✗ Terang gaya dengan ayat
tulis caption gaya santai tapi professional dan engaging
"Santai" kau dengan "santai" AI mungkin dua benda berbeza.
✓ Tunjuk 2 contoh
Tulis caption untuk sleeping bag baru. Ikut gaya 2 caption aku yang lepas:

1) "Hujan? Redah je. Flysheet ni kalis air 3000mm..."
2) "Musim cuti sekolah dah dekat. Khemah family 6 orang..."

Dengan 2 contoh, AI tangkap rentak ayat kau, panjang kau, cara kau mula dan habis. Tanpa contoh, dia guna gaya "internet purata".

Modul 6 — Tetapkan bentuk jawapan

Kalau tak tetapkan bentuk, kau dapat esei. Selalunya kau tak nak esei.

AI suka bagi jawapan panjang berperenggan. Untuk kerja sebenar, selalunya kau nak bentuk tertentu: jadual, senarai bernombor, satu ayat, atau had panjang. Sebut terus dalam prompt, dan AI akan patuh:

✓ Contoh arahan bentuk (salin yang mana kau nak)
"...bagi dalam jadual 3 kolum: produk, harga, poin jualan utama"
"...senarai bernombor, satu baris satu idea, max 10"
"...jawab dalam SATU ayat sahaja"
"...max 100 patah perkataan, bahasa mudah, tiada jargon"
"...draf je, jangan terus panjang: bagi rangka dulu, aku pilih, baru kembangkan"

Yang terakhir tu paling power untuk kerja besar: minta RANGKA dulu, pilih arah, baru minta versi penuh. Jimat masa dua-dua pihak.

Modul 7 — Iterasi

Prompting bukan satu tembakan. Ia perbualan. Draf pertama = draf.

Jangan harap output pertama terus sempurna, dan jangan pula putus asa bila ia tak sempurna. Cara pro: anggap output pertama sebagai draf dari pekerja, dan bagi feedback spesifik macam kau bagi kat manusia. Feedback "tak best, buat lain" = pekerja teka lagi. Feedback spesifik = pekerja baiki tepat.

✗ Feedback teka-teki
tak best la, buat lagi
hmm tak kena vibe
✓ Feedback tepat
ayat 1 & 3 bagus, kekalkan. Ayat 2 buang. Tone keseluruhan turunkan sikit, kurang excited
dah dekat. Tukar pembuka jadi soalan, dan tambah sebutan free postage

Peraturan patah balik: kalau dah 3 pusingan masih jauh, masalahnya di BRIEF asal. Mula chat baru dengan prompt 4K yang lebih baik — jangan tampal-tampal atas runtuhan.

Cuba dengan situasi kau

Ingat balik satu jawapan AI yang kau pernah tak puas hati. Tulis semula feedback kau guna rangka ni:

[BAHAGIAN YANG DAH OK]: kekalkan.
[BAHAGIAN YANG TAK KENA]: buang / tukar kepada [APA YANG KAU NAK SEBENARNYA].

Dua baris ni je. Feedback bentuk ni hampir selalu selesai dalam satu pusingan, berbanding "tak best, buat lagi" yang boleh berpusing lima kali.

Modul 8 — Persona, gaya & amaran fakta

"Kau seorang..." ialah suis paling murah untuk ubah seluruh jawapan.

Mulakan prompt dengan peranan, dan cara AI berfikir terus berubah: "Kau seorang jurujual berpengalaman yang jujur, tak pernah tekan pelanggan" menghasilkan ayat jualan yang berbeza sama sekali daripada "Kau seorang cikgu yang menerangkan kepada pelajar tingkatan satu". Guna persona bila kau nak sudut pandang atau nada tertentu.

Tapi ini amaran paling penting dalam seluruh subjek: AI boleh menjawab dengan yakin sepenuhnya dan SALAH sepenuhnya. Ini dipanggil halusinasi. Dia bukan menipu; dia meneka dengan yakin. Untuk fakta yang ada akibat (harga, polisi, tarikh, undang- undang, ubat), peraturannya:

✓ 3 tabiat selamat fakta
1Tambah dalam prompt: "kalau tak pasti, cakap tak pasti — jangan teka"
2Minta sumber untuk dakwaan penting, dan klik sumber tu sendiri
3Fakta yang akan keluar ke pelanggan (harga, stok, polisi kedai): SAHKAN dengan sistem sendiri dulu, bukan dengan AI

Modul 9 — Resipi siap guna untuk kerja kedai

4 prompt lengkap. Salin, tukar bahagian [kurungan], guna hari ini.

✓ Resipi 1 · Caption produk
Aku jual peralatan camping, pelanggan majoriti family muda Malaysia. Tulis 3 pilihan caption FB untuk [NAMA PRODUK], kelebihan utama dia [KELEBIHAN]. Gaya santai BM macam borak dengan kawan, 2-3 ayat, satu soalan di hujung untuk pancing komen. Jangan sebut harga.
✓ Resipi 2 · Balas pelanggan tak puas hati
Pelanggan komplen: "[TAMPAL KOMPLEN]". Situasi sebenar: [APA YANG BERLAKU]. Apa yang kita boleh offer: [PILIHAN GANTI RUGI]. Draf balasan BM yang mengaku salah dengan ikhlas tanpa bagi alasan panjang, bagi pilihan penyelesaian, dan kekalkan maruah dua-dua pihak. Jangan janji benda yang tak disebut di atas.
✓ Resipi 3 · Ringkaskan dokumen / nota meeting
Ringkaskan nota ni kepada: (1) keputusan yang dah dibuat, (2) kerja yang perlu disiapkan + siapa, (3) benda yang belum diputuskan. Bentuk senarai. Kalau ada yang tak jelas dalam nota, senaraikan sebagai soalan, jangan teka. [TAMPAL NOTA]
✓ Resipi 4 · Idea content seminggu
Bisnes aku: [BISNES + PELANGGAN]. Bagi 7 idea content untuk minggu ni dalam jadual: hari, tajuk, format (foto/video/live), dan ayat pembuka. Campuran: 3 berkaitan produk, 2 tips berguna, 2 behind-the-scenes. Elakkan idea yang perlukan bajet atau crew.

Perasan tak? Setiap resipi ada 4K lengkap. Bila kau dah biasa, kau akan tulis macam ni secara automatik.

Modul 10 — 7 kesilapan paling biasa

Kalau hasil AI mengecewakan, hampir pasti salah satu dari 7 ni.

✗ Senarai semak kesilapan
1Prompt satu ayat untuk kerja besar ("buatkan marketing plan")
2Campur 3 kerja dalam satu prompt — pecahkan, satu-satu
3Tak bagitahu untuk SIAPA output tu (pelanggan? staf? bos?)
4Tak bagi contoh padahal ada contoh yang kau suka
5Terima output pertama bulat-bulat tanpa iterasi
6Percaya fakta tanpa sahkan (Modul 8!)
7Padam semua dan mula dari kosong bila sepatutnya bagi feedback spesifik je
Langkah seterusnyaDah khatam asas ni? Sambung ke Subjek Claude Apps untuk guna Claude dalam kerja harian, atau Subjek Claude Code kalau nak AI yang boleh bina sistem terus. Prompting yang kau belajar di sini terpakai untuk semuanya.

Rumusan — poket kad prompting

Formula 4KKonteks · Kerja · Keluaran · Kekangan.
Ujian staf baruStaf baru boleh buat tak dengan arahan ni?
SpesifikSatu tafsiran sahaja. Syak "improve" dan "menarik".
KonteksPerenggan "pasal bisnes aku", tampal setiap chat baru.
ContohTunjuk 1-2 contoh, jangan terangkan gaya.
BentukJadual / senarai / had ayat. Rangka dulu, baru penuh.
IterasiFeedback tepat. 3 pusingan gagal = brief baru.
FaktaAI boleh yakin dan salah. Sahkan sebelum keluar ke pelanggan.